15 Resepi Menggunakan Cendawan Yang Mudah dan Menyelerakan!
Jika anda menyukai hidangan yang mengandungi cendawan, apa kata anda cuba resepi-resepi cendawan yang berbeza?

Jika anda menyukai hidangan yang mengandungi cendawan, apa kata anda cuba resepi-resepi berbeza di bawah ini? Bukan sahaja mudah, malah anda juga boleh mengolah resepinya dengan jenis-jenis cendawan berbeza yang ada di pasaran. Tapi, ketahui bahawa tidak semua jenis cendawan sesuai dengan semua hidangan, jadi ‘try and error’ dulu.

1. Sup cendawan

Hidangan berasaskan sup bukan sahaja enak dimakan ketika hujan atau demam, malah ia juga mengenyangkan anda dengan cepat. Jom sediakan sup cendawan mudah seperti di bawah!

Bahan-bahan:

  • 1 paket cendawan butang
  • 1 paket cendawan telinga kera
  • 2 paket sayur fucuk
  • 1 paket soohoon
  • 2 ulas bawang putih (dihiris)
  • 2 ulas bawang merah (dihiris)
  • 1 sudu kecil udang kering
  • 1 sudu kecil lada sulah
  • 1 sudu besar sos tiram
  • Garam bukit secukupnya

Cara penyediaan:

  1. Rendam sayur fucuk dan soohoon selama sekitar setengah jam.
  2. Potong cendawan mengikut kesesuaian yang anda mahukan (tidak terlalu kecil atau terlalu besar).
  3. Basuh udang kering dan ketepikan.
  4. Masukkan sedikit minyak dalam periuk.
  5. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga naik bau.
  6. Masukkan udang kering dan sos tiram.
  7. Kemudian, masukkan sayur fucuk bersama cendawan.
  8. Tambahkan sedikit air sebagai kuah.
  9. Masukkan sedikit garam bukit dan lada sulah mengikut cita rasa anda.
  10. Masukkan soohoon dan biarkan ia mendidih seketika.
  11. Tutup api dan sup cendawan anda siap dihidangkan!

2. Nasi goreng cendawan

Hidangan nasi goreng adalah satu makanan versatil kerana anda boleh menambahkan bahan-bahan berlainan bagi mendapatkan raza yang berbeza. Jadi, kali ini jom cuba nasi goreng cendawan pula.

Bahan-bahan:

  • 3 ulas bawang putih
  • 3 biji bawang merah
  • 1 inci halia
  • 10 biji cendawan shitake
  • 1 ketul kiub ayam Maggi
  • 1/2 cawan minyak masak sihat (minyak canola, minyak zaitun dan sebagainya)
  • 2 sudu cili kisar
  • 2 biji telur
  • 2 1/2 mangkuk nasi semalam
  • 1/2 sudu kicap masin
  • Sedikit ikan bilis

Cara penyediaan:

  1. Goreng sedikit ikan bilis dan ketepikan.
  2. Cuci bersih cendawan butang (shitake) dan hiris nipis.
  3. Tumbuk kasar bawang putih, bawang merah dan ketepikan.
  4. Panaskan minyak dan tumis cili kisar hingga naik bau.
  5. Kemudian, tambahkan bahan tumbuk serta kiub ayam dan masak sehingga sedikit garing.
  6. Masukkan telur, kacau hingga semua sambal bercampur dengan rata dan telur masak.
  7. Masukkan cendawan dan goreng sehingga cendawan sedikit layu.
  8. Masukkan nasi semalam, kacau hingga semuanya bercampur dengan rata.
  9. Perasakan dengan baik dan tambahkan kicap masin jika perlu.
  10. Kacau dengan baik seketika dan tutup api.
  11. Apabila menghidangkannya, taburkan ikan bilis yang telah digoreng untuk menambahkan kerangupan.

3. Nugget ayam cendawan

Jika anda penggemar nugget, apa kata kali ini kita cuba sediakan dengan cendawan pula? Ia mungkin sedikit berbeza dengan nugget biasa, tapi apa salahnya kita buat sedikit ‘twist’ kepada resepi asal bukan?

Bahan-bahan:

  • 300g ayam kisar
  • 50g cendawan tiram (dihiris halus)
  • 50g serbuk roti
  • 3 biji telur
  • 50g bawang Holland (dicincang halus)
  • 1 sudu kecil garam bukit
  • 2 sudu mushroom bouillon
  • 1 sudu kecil serbuk lada putih/ hitam

Cara penyediaan:

  1. Cincang halus cendawan kemudian satukan ayam kisar, cendawan tadi, serbuk roti, telur, bawang Holland, serbuk lada putih/ hitam/ garam bukit, mushroom Boullon. Gaul hingga rata.
  2. Tuang adunan ke dalam loyang yang dilapik dengan ‘baking paper’ dan disapu sedikit minyak sayur.
  3. Ratakan adunan dan kukus selama 30 minit.
  4. Setelah sejuk, keluarkan dari loyang dan potong mengikut saiz yang anda mahukan.
  5. Celupkan potongan nugget tadi ke dalam putih telur dan taburkan dengan serbuk roti.
  6. Simpan dalam freezer selama 1 jam.
  7. Apabila anda ingin menggorengnya, selain menggunakan minyak seperti kaedah biasa, bakarnya dalam air fryer atau ketuhar sehingga ia masak dan rangup.
  8. Keluarkan dan hidangkan bersama sos atau makan begitu sahaja.

4. Asparagus tumis bersama udang dan cendawan

Lauk ini sesuai dijadikan hidangan sampingan bersama lauk lain. Di samping mudah disediakan, ia juga sihat kerana mengandungi sayur-sayuran berbeza.

Bahan-bahan:

  • 2 ikat asparagus
  • 5 biji cendawan shitake
  • 250g udang segar
  • 1 biji bawang Holland
  • 3 ulas bawang putih
  • 5-7 biji cili padi
  • 1/2 sudu kecil garam bukit
  • 3 sudu minyak masak sihat (minyak zaitun, minyak sayuran dan sebagainya)

Cara penyediaan:

  1. Bersihkan semua bahan-bahan dan potong asparagus dengan anggaran 1-2 inci manakala bawang Holland, bawang putih dan cili dipotong mayang.
  2. Panaskan minyak, tumis bahan dimayang tadi hingga naik bau.
  3. Masukkan cendawan, asparagus dan udang.
  4. Masukkan garam bukit mengikut cita rasa anda.
  5. Gaul rata sebenar dan matikan apa.
  6. Hidangan asparagus anda bersama cendawan siap dihidangkan!

5. Lempeng daun kucai dan cendawan

Lempeng adalah satu hidangan yang mudah disediakan serta sangat enak dimakan ketika ia masih panas. Sekarang, jom cuba sediakan lempeng bersama cendawan pula. Ini adalah penyediaan bagi 4 orang.

Bahan-bahan:

  • 1 1/2 cawan tepung gandum
  • 1 sudu kecil garam bukit
  • 1 sudu kecil lada sulah
  • 1 biji telur
  • 1/2 cawan air suam
  • Segenggam daun kucai
  • 200g cendawan tiram
  • Sedikit minyak (minyak zaitun, minyak sayuran atau minyak sihat lain)

Cara penyediaan:

  1. Dalam satu mangkuk besar, satukan tepung bersama garam, lada sulah dan telur.
  2. Tuangkan air kemudian gaul adunan hingga sebati.
  3. Jika adunan terlalu pekat, tambahkan sedikit air lagi.
  4. Dalam periuk, panaskan sedikit minyak dan goreng daun kucai dan cendawan hingga menjadi sedikit layu.
  5. Angkat dan ketepikan.
  6. Tambahkan sedikit minyak lagi dan tuang satu senduk adunan tepung.
  7. Susunkan daun kucai dan cendawan tiram tadi di atas adunan agar ia masak sekali.
  8. Tuang lagi satu senduk kecil adunan untuk menutupi daun kucai dan cendawan tadi.
  9. Terbalikkan sisi pancake apabila bahagian tepi agak keperangan.
  10. Masak sehingga dua-dua belah sudah garing.
  11. Angkat dan hidangkannya bersama sos cili.

6. Cendawan goreng tepung

Cendawan goreng tepung adalah pilihan snek yang agak terkenal terutama ketika anda berkunjung ke pasar malam. Tapi, apa kata kali ini anda sediakannya sendiri di rumah kerana ia tidak mengambil masa yang lama pun.

Bahan-bahan:

  • 1 paket cendawan
  • 1 cawan tepung bestari
  • Sedikit minyak (gunakan minyak sihat seperti minyak zaitun, minyak sayuran dan sebagainya)

Cara penyediaan:

  1. Bersihkan cendawan dan rendam dalam air garam sekitar 15 minit.
  2. Sediakan tepung bestari sekitar 1 cawan.
  3. Salut cendawan dengan tepung bestari dengan rata.
  4. Panaskan minyak dalam periuk seketika.
  5. Goreng cendawan hingga ia kelihatan garing.
  6. Angkat dan toskan minyak lebihan sebelum menghidangnya.
  7. Makan bersama sos cili atau begitu sahaja juga sudah enak.

7. Steamboat cendawan ala tomyam Korea

Jika anda suka menikmati hidangan ala steamboat di kedai makan, jom sediakan steamboat sendiri di rumah bersama ahli keluarga tau rakan-rakan anda. Resepi ini sesuai dihidangkan bagi 4 orang individu.

Bahan-bahan:

  • 10 cendawan butang
  • 2 paket cendawan enoki
  • 1 paket cendawan tiram panjang
  • 1 paket cendawan shimeji
  • 1 paket tauhu telur
  • 3 batang sayur pak choy
  • 2 tangkai ketumbar
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 paket perencah Tomyam Adabi
  • 3 sudu besar cili Gochujang (pes cili jenama Korea)
  • 2 sudu madu
  • Sedikit garam bukit
  • 1 jug air
  • 1 biji bawang Holland
  • 6 biji bebola ikan
  • 3 batang kek ikan

Cara penyediaan:

  1. Sediakan bahan-bahan dan rebus air dalam periuk.
  2. Masukkan bawang putih serta halia yang telah dihiris bersama akar ketumbar.
  3. Masukkan perencah tomyam, cili gochujang dan biarkan ia mendidih seketika.
  4. Kemudian, tambahkan bebola dan kek ikan.
  5. Masukkan semua jenis cendawan, tauhu telur dan sayur pakchoy.
  6. Biarkan semua bahan masak dengan baik.
  7. Tambahkan madu, garam bukit dan perasakan dengan baik.
  8. Akhir sekali, masukkan daun ketumbar dan biarkan kuah mendidih.
  9. Tutup api dan hidangan steamboat anda siap dihidangkan!

8. Bubur ayam cendawan

Jika biasanya anda makan bubur berasaskan ayam atau bahan-bahan lain, kali ini jom tambahkan cendawan pula untuk menaikkan rasa bubur itu.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan beras perang
  • 4 cawan air
  • 1 cawan stok ayam
  • 4 biji cendawan
  • 4 kepingan ayam
  • 1 biji telur masin
  • Daun bawang (sebagai perhiasan)

Cara penyediaan:

  1. Potong dadu kepingan ayam dan hiris cendawan yang anda gunakan.
  2. Selepas itu, bersihkan beras dan masukkan dalam periuk.
  3. Masukkan air serta air rebusan stok ayam.
  4. Anda boleh gunakan periuk nasi biasa atau masak atas dapur gas dengan api perlahan selama 30 minit.
  5. Masukkan ayam dan cendawan sekali.
  6. Sementara tunggu bubur masak, rebus telur masin dan hiris daun bawang.
  7. Setelah bubur masak, ia siap dihidangkan bersama telur masin dan daun bawang.

9. Popia cendawan carbonara

Seperti resepi popia biasa, kali ini kami bawakan resepi popia dengan isi cendawan dan carbonara pula untuk anda cuba.

Bahan-bahan:

  • Cendawan shitake (dihiris nipis)
  • 1 tin krim carbonara
  • 20 ekor isi udang
  • Bawang putih (dihiris halus)
  • 1/2 sudu kecil garam bukit
  • 1/2 sudu teh gula perang
  • Kulit popia (mengikut berapa banyak yang anda ingin sediakan)

Cara penyediaan:

  1. Hiris bawang putih dan tumisnya seketika kemudian masukkan cendawan shitake yang juga sudah dihiris nipis.
  2. Masukkan isi udang dan kacau seketika sebelum anda masukkan setin krim karbonara.
  3. Jika anda mahukan ia sedikit pekat, tambahkan sedikit bancuhan tepung jagung.
  4. Kemudian, perasakan dengan garam bukit dan sedikit gula.
  5. Anda juga boleh tambah sedikit serbuk lada sulah sebagai perasa.
  6. Sediakan kulit popia dan letakkan isi tadi di tengah-tengahnya.
  7. Bungkus dengan kemas sebelum anda menggorengnya.
  8. Panaskan minyak dan goreng sehingga ia agak keperangan.
  9. Angkat dan toskan minyak lebihan.
  10. Hidangan popia cendawan carbonara anda siap dihidangkan!

10. Cendawan tiram masak lemak cili api

Bagi penggemar hidangan lemak cili api, jom cuba hidangan mudah ini menggunakan cendawan pula.

Bahan-bahan:

  • 1 paket cendawan tiram
  • 1 kotak santan
  • 10 biji cili padi
  • 2 batang serai (diketuk)
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 keping asam keping
  • 1 senduk ikan bilis
  • 1 sudu kecil garam bukit
  • 2 cawan air

Cara penyediaan:

  1. Basuh cendawan dan toskan air lebihan.
  2. Kisar cili api, serbuk kunyit, ikan bilis hingga agak halus.
  3. Masukkan bahan kisar itu ke dalam kuali bersama santan dan serai kemudian tunggu hingga ia mendidih.
  4. Kacau selalu dan tambahkan garam bukit dan asam keping.
  5. Masukkan cendawan dan kacau dengan sebati.
  6. Biarkan ia mendidih seketika dan apabila rasanya sudah baik, tutup api dan hidangan cendawan lemak cili api anda siap dihidangkan!

11. Cendawan dan udang goreng dengan sos tiram

Hidangan ini sangatlah enak dimakan bersama nasi panas. Anda boleh ubahnya ikut cita rasa sendiri dengan bahan-bahan tambahan lain.

Bahan-bahan:

  • 500g cendawan tiram
  • 10 ekor udang
  • 100g jagung muda
  • 1 biji lada benggala merah
  • 2 sudu sos tiram
  • 2 sudu kicap manis
  • Secubit garam bukit
  • 4 biji cilii padi
  • 6 ulas bawang putih (diketuk)
  • Setengah biji bawang besar
  • Sedikit minyak masak (gunakan minyak masak sihat seperti minyak zaitun, minyak sayuran dan sebagainya)
  • Setengah cawan air

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan bawang putih yang diketuk.
  2. Goreng hingga naik bau kemudian masukkan udang dan kacau hingga berubah warna.
  3. Masukkan pula putik jagung bersama sedikit air agar jagung menjadi empuk.
  4. Tambahkan 2 sudu sos tiram, kacau dan biarkan ia mendidih seketika.
  5. Masukkan lada benggala dan kacau. Kemudian, tambahkan air lagi.
  6. Biarkan ia sehingga mendidih lalu masukkan cili potong dan kacau.
  7. Tambahkan hirisan bawang besar, kacau dan masukkan cendawan tiram pula.
  8. Perasakan dengan kicap dan garam bukit.
  9. Kacau dan masak sehingga kuahnya menjadi pekat.
  10. Tutup api dan hidangan anda siap dihidangkan bersama nasi panas!

12. Bok choy dan cendawan

Ini adalah resepi mudah menggunakan dua jenis sayuran iaitu cendawan dan bok choy. Jom lihat cara penyediaannya di bawah.

Bahan-bahan:

  • 1 paket sayur bok choy
  • 1 paket cendawan
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 1 sudu air tepung jagung
  • 1 sudu minyak masak (gunakan jenis minyak sihat seperti minyak zaitun)
  • 1 sudu minyak bijan
  • 1/2 sudu garam bukit
  • Air panas secukupnya

Cara penyediaan:

  1. Cuci bersih semua bahan.
  2. Panaskan air dalam periuk dan tutup api sebelum anda masukkan sayur bok choy sekitar 2 minit sahaja.
  3. Toskan air panas kemudian masukkan bok choy dalam air sejuk berais pula.
  4. Biarkan seketika kemudian toskan sekali lagi hingga tiada air.
  5. Susunkan dalam pinggang.
  6. Cincang halus bawang putih dan hiris halus halia.
  7. Panaskan minyak masak dan tumis halia dan bawang putih sehingga wangi dan keperangan.
  8. Masukkan cendawan dan masak seketika.
  9. Tambahkan air tepung jagung serta sedikit air.
  10. Perasakan dengan garam bukit serta minyak bijan.
  11. Masak dengan rata kemudian padamkan api dapur.
  12. Tuang di atas pinggan dengan bok choy anda tadi dan hiaskan dengan hirisan cili merah.

13. Ayam kicap dan cendawan shitake

Bagi mereka yang tidak suka makan pedas dan suka hidangan berasaskan kicap, cubalah resepi ayam kicap bersama cendawan shitake ini.

Bahan-bahan:

  • 300g ayam
  • 6 biji cendawan shitake (dibelah 4)
  • 1 labu bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 sudu sos tiram
  • 2 sudu kicap cair
  • 1 sudu tepung jagung
  • 3 helai daun bawang
  • Sedikit minyak (gunakan minyak sihat seperti minyak zaitun)

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak zaitun dan tumis bawang putih dan halia.
  2. Masukkan ayam dan kacau hingga ayam kecut.
  3. Tambahkan air dan masukkan sos tiram dan kicap.
  4. Kemudian, masukkan cendawan dan kacau hingga sebati.
  5. Masukkan bawang besar dan lada putih.
  6. Akhir sekali, masukkan tepung jagung untuk pekatkan kuah.
  7. Masak seketika dan tutup api.
  8. Hiaskan dengan daun bawang dan hidangan anda siap dihidangkan!

14. Sup cendawan tauhu telur

Mahukan sesuatu yang mudah tapi sedap? Jom cuba resepi sup cendawan bersama tauhu telur ini.

Bahan-bahan:

  • 2 pek tauhu telur (dipotong kecil)
  • 1 batang lobak merah (disagat secara memanjang)
  • 2 paket cendawan enoki (dibuang akar)
  • 6 biji cendawan shitake (dibahagi 4)
  • 600ml air
  • 1 sudu besar garam bukit (ikut kemasinan yang anda mahukan)
  • 1 sudu tepung jagung
  • 2 biji bawang putih (dilenyek dan dihiris halus)
  • 1 biji bawang merah (dihiris halus)

Cara penyediaan:

  1. Sediakan semua bahan dan goreng tauhu telur hingga kekuningan.
  2. Anda boleh salut tauhu telur dengan tepung jagung bagi mengelakkan ia hancur kerana terlalu lembik.
  3. Angkat dan ketepikan telur.
  4. Tambah minyak sekiranya perlu dan goreng bawang hingga ia keperangan sebelum anda memasukkan cendawan shitake dan juga lobak merah.
  5. Masukkan pula air, garam bukit secukup rasa.
  6. Apabila ia sudah agak mendidih, masukkan cendawan enoki dan kacau sedikit.
  7. Setelah masak, terus masukkan tepung jagung yang dikacau bersama sedikit air dan gaul hingga kuah kelihatan pekat.
  8. Masukkan kembali tauhu telur dan gaul sebentar.
  9. Tutup api dan sup cendawan bersama tauhu telur anda siap dihidangkan!

15. Soba carbonara bersama cendawan

Bagi penggemar hidangan berasaskan carbonara, jom cuba resepi ini yang diolah sedikit bagi menyediakan hasil yang lebih sihat dan enak. Kali ini, kita akan gunakan mi yang dipanggil ‘soba’ kerana ini adalah pilihan yang sihat berbanding mi biasa.

Bahan-bahan:

  • 1 tin Prego Carbonara Cendawan (apa-apa jenis sos carbonara juga boleh digunakan)
  • 1 biji bawang besar (dihiris)
  • 2 ulas bawang putih (dihiris)
  • 2 batang sosej
  • 2 paket mi soba
  • 6 biji cendawan butang (dihiris)
  • Sedikit minyak (gunakan pilihan minyak sihat seperti minyak zaitun dan minyak lain yang sesuai)

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng sosej dan cendawan hingga keperangan.
  2. Masukkan bawang besar dan bawang putih serta tumis hingga wangi.
  3. Tuang 1 tin carbonara dan tambahkan sedikit air.
  4. Renehkan selama 5 minit dan tambahkan lada hitam mengikut rasa yang anda mahukan.
  5. Tutup api setelah ia agak mendidih.
  6. Rebus pula mi soba dengan didihkan air dalam periuk lain.
  7. Tunggu selama 5 minit hingga mi agak lembut.
  8. Apabila sudah lembut, keluarkan dan celur dalam air suam seketika (5 saat) sebelum memasukkannya semula dalam air mendidih tadi (5 saat).
  9. Toskan air mi dengan baik dan hidang dalam pinggang.
  10. Cedok kuah ke atas mi soba dan hidangan anda siap dihidangkan!

SUMBER

https://cookpad.com/my

Summary
recipe image
Recipe Name
15 Resepi Menggunakan Cendawan Yang Mudah dan Menyelerakan!
Published On
Tagged: