Hadiah Untuk Lelaki

Hadiah untuk lelaki? Selalu kita dengar, perempuan sahaja yang sering menerima hadiah daripada lelaki. Tetapi lelaki juga patut dihargai dan diberikan hadiah sempena hari lahir mereka atau hari yang menggembirakan buat mereka.

Tidak kira lah sama ada lelaki itu teman lelaki anda, kawan baik anda, adik beradik anda malah ayah anda, mereka patut dihadiahkan dengan benda-benda yang menarik.

Namun, apakah hadiah yang sesuai untuk mereka? Jangan risau, disini penulis ada beberapa cadangan hadiah yang sesuai untuk kaum lelaki.

Paling penting, hadiah-hadiah ini sangat universal dan boleh diberikan kepada mana-mana lelaki sekalipun. Ayuh lihat senarainya!

1. Kemeja

Kemeja merupakan hadiah paling popular dan sering diberikan kepada lelaki. Hal ini kerana, kemeja akan sering dipakai oleh mereka sama ada ke tempat kerja atau apa-apa jenis keraian.

Anda juga mempunyai banyak pilihan warna namun untuk lebih selamat, pastikan anda tahu warna kegemaran si penerima. Satu lagi, sebelum membuat kejutan, pastikan juga anda tahu saiz mereka. Kalau silap membeli saiz, takut kemeja itu terlebih besar atau kecil pula untuk dipakai mereka. Opps!

2. Dompet

Dompet merupakan antara hadiah yang paling berguna kerana hampir setiap lelaki pasti akan menggunakannya. Tambahan pula, lelaki hanya akan membeli dompet baharu sekiranya dompet lama mereka benar-benar lusuh atau koyak. Betul tak?

Selagi masih boleh digunakan, selagi itu mereka tidak akan menukarnya. Oleh itu, kalau anda ternampak dompet mereka sudah rosak, apa kata anda membuat kejutan dengan memberikan mereka dompet baharu. Pasti mereka girang gembira!

3. Kasut

Kasut juga merupakan hadiah yang sesuai untuk diberikan kepada kaum lelaki. Tak kira lah sama ada kasut kulit, kasut kasual, kasut sukan atau apa jenis sekalipun, ia pasti akan membuat si penerima senyum sampai ke telinga.

Walaupun mereka mempunyai satu rak kasut, tapi siapa mampu tolak jika diberikan kasut baharu? Sama seperti kemeja, pastikan anda tahu saiz si penerima supaya anda tidak tersalah beli okay?!

4. Jam Tangan

Jam tangan merupakan satu-satunya aksesori utama yang akan dipakai oleh kaum lelaki selain cincin. Jarang kita lihat lelaki tidak memakai jam tangan.

Malah, ada juga kaum lelaki yang gemar mengumpul jam tangan. Sebab itu ia senang untuk dijadikan hadiah kerana anda tidak perlu tahu akan saiz si penerima pun. Jam tangan adalah antara hadiah paling ‘ngam’ untuk diberikan kepada lelaki. Cepat angkat tangan kalau setuju!

5. Minyak Wangi Mewah

Kebanyakan lelaki tidak akan memakai minyak wangi. Tak seperti kaum hawa yang mempunyai hampir berbotol-botol wangian. Setiap hari pasti berbau lain.

Bagi kaum lelaki, asalkan badan mereka tidak berbau itu sudah cukup. Untuk itu, minyak wangi adalah hadiah paling sesuai untuk mereka. Pasti mereka akan selalu memakainya kerana itu mungkin haruman pertama yang mereka ada. Pastikan anda pilih bau yang maskulin dan bersesuaian dengan personaliti si penerima.

6. Set Pencukur

Lelaki pastinya ada misai dan jambang walaupun sedikit. Setiap kali ingin mencukur pasti mereka akan gunakan pencukur yang rupanya umpama “Hidup segan, mati tak mahu”.

Jadi, apa kata anda hadiahkan mereka set pencukur yang lebih berkualiti supaya kulit mereka lebih terjaga. Pasti mereka akan gembira sebab selama ini mereka hanya memakai penckur murah sahaja. Bila sudah dapat yang berkualiti, mestilah mereka lagi seronok.

7. Set Bertukang

Lelaki mana yang tidak suka bertukang? Lebih lebih lagi kalau ada set bertukang sendiri, pasti setiap hari mereka akan bertukang.

Tambahan pula, dekat rumah pasti ada sahaja benda untuk dibaiki. Pasang perabot IKEA lah, pasang frame di dinding lah dan macam-macam lagi. Oleh itu, set bertukang tersangatlah sesuai untuk dijadikan hadiah.

Lepasni, tak perlu dah mereka meminjam daripada jiran sebelah setiap kali ingin menggunakannya.

8. Smart Watch

Smart watch atau jam pintar ternyata berbeza daripada jam tangan biasa kerana ia mempunyai banyak fungsi canggih.

Antara fungsinya ialah boleh menjadi ‘penjejak kesihatan’. Sangat lah sesuai jika si penerima itu jenis yang gemar bergerak aktif.

Smart watch juga boleh disambungkan ke telefon pintar, mudah untuk kegunaan harian kerana boleh juga boleh membuat panggilan menggunakannya. Apple dan Samsung adalah jenama yang popular menghasilkan inovasi jam pintar.

9. Play Station 5

Play Station 5 merupakan kegilaan setiap lelaki di dunia ini tidak kira lah mereka suka bermain game ataupun tidak. Ia juga merupakan hadiah yang sesuai untuk mereka buat masa ini.

Walaupun harganya agak mahal, akan tetapi ianya berbaloi jika anda berikan kepada orang tersayang. Mereka pun pasti akan bertambah sayang terhadap anda.

10. GoPro

Siapa yang tidak kenal dengan kamera genit jenama GoPro? GoPro ialah gajet yang boleh digunakan untuk merekod video dan menangkap gambar. Ianya tahan lasak dan membolehkan kamu merakam walaupun tatkala berada di dalam air!

Oleh itu, jika si penerima memang gemar mengambil gambar dan membuat video, ini adalah hadiah yang paling tepat. Namun, harganya sedikit mahal. Jika ada bajet lebih, apa salahnya.

Ha, ada ke di antara idea kami ini yang berkenan di hati anda? Harapnya, artikel ini dapat mencerahkan kebuntuan anda tatkala memikirkan hadiah yang hendak diberi kepada kaum Adam.

Selamat membeli-belah semuanya!

SUMBER

https://aliff.co/hadiah-untuk-lelaki/

https://www.hellokerja.com/2020/02/11-jenis-hadiah-untuk-lelaki-tahun-2020.html

Summary
10 Hadiah Untuk Lelaki Kesayanganmu!
Article Name
10 Hadiah Untuk Lelaki Kesayanganmu!
Description
Hadiah untuk lelaki? Selalu kita dengar, perempuan sahaja yang sering menerima hadiah daripada lelaki. Tetapi lelaki juga patut dihargai dan diberikan hadiah sempena hari lahir mereka atau hari yang menggembirakan buat mereka.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: